Ramadhan: Bulan untuk umat!

17 Ogos, 2010

Ramadhan: Bulan untuk umat!


Bulan Ramadhan semenang barakah! Lihatlah sahaja penangannya. Di alam siber, manusia berpusu-pusu berbicara tentangnya. Di surau-surau, manusia berebut-rebut memeriahkannya. Dan laungan azan (terutamanya azan Maghrib), manusia berdebar-debar menantikannya!
Nah, fenomena Ramadhan menampilkan betapa kita betapa sebegitulah fitrah manusia. Mereka masih terpanggil untuk menghadap ALLAH. Mereka masih merasakan ikatannya dengan agama ALLAH. Mereka masih ada kemahuan, untuk kembali mendekatkan diri dengan ALLAH.
Masalahnya cuma adalah keistiqamahan. Bagaimana momentum tajdidul fitrah (perbaikan diri, kembali kepada fitrah) bisa diteruskan, hingga begitu genap sebulan, manusia berhak merayakan kembalinya mereka ke fitrah itu. Aidil Fitri, itulah maksudnya. Perayaan akan kembalinya kita kepada fitrah.
Nah, isunya adalah bagaimana momentum iman itu diistiqamahkan. Dan dakwah, begitu sampai ke mihwar muassasi, iaitu bukan lagi period yang para aktivis dakwah turun ke masyarakat, bahkan mereka kini mengungguli dan memimpini masyarakat. Maka, menjadi tanggung jawab para aktivis dakwahlah untuk memikirkan cara dan menggemblengkan usaha untuk mengekalkan keistiqamahan momentum ini.
Maka, di bulan Ramadhan ini terutamanya, para aktivis dakwah adalah milik masyarakat. Jika di 11 bulan lainnya, begitu bertembung program-program kejiranan dan masyarakat setempat dengan program-program dakwah, sering yang diutamakan oleh para aktivis adalam program dakwah –suatu hal yang wajar andai kita masih di mihwar tanzimi- kini, di mihwar muassasi, di fasa yang dakwahlah yang memimpin masyarakat, para aktivis harus kembali kepada kaedah fiqh akan prioritynya mengutamakan kepentingan orang banyak, berbanding kepentingan dan keperluan peribadi atau kelompok minority.
Para aktivis dakwah tidak boleh lagi sekadar menjadi “tokoh jaguh kampung” yang hanya hebat sesama kelompok mereka semata-mata. Sebaliknya, para aktivis dakwah harus menjadi “somebody’ di tengah-tengah masyarakatnya. Somebody yang kehadirannya bermanfaat, dan ketiadannya dirasakan. Aktiviti-aktiviti Ramadhan yang mendapat sambutan manusia yang mula kembali kepada fitrah ini, harus digerakkan oleh para aktivis dakwah ini tadi. Dan mengekalkan momentum fitrah itu di dalam dada masyarkat, pun harus dipelopori oleh para aktivis dakwah ini, dengan dimukaddimahkan oleh tawasul ijtima’i (interaksi kemasyarakatan) yang mereka lakukan hasil penglibatan aktif mereka dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti dan program-program Ramadhan ini.
Menjadi tokoh, biarlah bermual daripada bawah. Kerana seorang pemimpin yang baik, merupakan seorang pengikut yang baik dulunya. Sebelum anda berangan memenuhi tuntutan mihwar (fasa dakwah) ini dengan berada di “hadapan” mimbar masjid dan surau, menyelesaikan harapan dakwah yang justeru didambakan oleh manusia demi mengekalkan momentum fitrah mereka, biasa-biasakanlah dahulu diri anda membantu tok siak mengemas surau dan masjid, untuk menghadapi solat tarawikh yang tinggal beberapa minit (dari waktu berbuka). Rajin-rajinkanlah diri anda membentang tikar di khemah khas yang disediakan di luar surau untuk menampung jemaah yang luar biasa jumlahnya daripada biasa, membentang sejadah, memasang kipas untuk kegunaan jemaah di bawah khemah dan sebagainya, lantaran pekerjaan-pekerjaan sebegitu, sering tidak ada orang yang sudi volunteer dan sensitive dengannya. Tok siak adalah the unsung hero dalam aktiviti-aktiviti masjid, berbanding pak imam yang sering menonjol di hadapan. Dan, sering penonjolan ini, menimbulkan bibit-bibit kesombongan.
Tidak hairan, sebahagian pak imam, begitu sampai surau dan masjid, akan langsung duduk dan beramal sendiri-sendirian sahaja. Ia tidak sensitif dengan orang di luar sana yang sibuk mengemas surau untuk menampung keperluan jemaah yang akan dipimpinnya dalam solat kelak. Mungkin ia terlalu “besar”, untuk melaksanakan pekerjaan-pekerjaan “kecil” dan remah seperti membentang sejadah, mengangkat makanan untuk moreh, mengemas kembali surau selepas selesai witir dan sebagainya. Dan malangnya, tokoh yang difahami oleh sebahagian aktivis dakwah, adalah tokoh pada posisi pak imam itu tadi!
Maka bayangkan sahaja jika the unsung hero program-program Ramadhan ini –iaitu tok siak- tiba-tiba tidak hadir pada hari itu. Solat tarawikh terpaksa bermula lambat, lantaran masing-masing terpinga-pinga tanpa persediaan. Kelancaran majlis pasti berjalan berbaur kecacatan. Dan momentum fitrah yang dijalin di bulan Ramadhan, tentu mula memujuk diri untuk berkurangan.
Kerana itulah, para aktivis dakwah harus menjadi somebody itu tadi. Yang kehilangannya terasakan, lantaran ialah yang menggerakkan aktivisma masyarakat setempatnya, walau hanya dengan peranan serba kerdil. Dan dengan peri pentingnya dirinya di tengah masyarakat, hidupnya di bulan Ramadhan bukan sekadar interaksinya sendirian dengan Tuhannya, tetapi interaksinya juga dengan masyarakatnya. Di bulan Ramadhan ini, ia laungkan ke tengah-tengah mereka: wahai umat! Aku untuk kalian semua!
Dan di mihwar (fasa dakwah) yang kita harus bermasyarakat ini, saksikanlah wahai umat: aku untuk kalian semua! (InsyaALLAH)
Ir. Faridul Farhan Abd Wahab
P.Eng, MIEM, Sijil Pengajian Syariah



Tiada ulasan:

Catat Ulasan