Program Bingkisan Ramadhan dan Sumbangan Aidil Fitri 2010 (IKRAM Sg. Petani) di Masjid Tengku Habsah, Padang Temusu, Sungai Petani Kedah.

31 Ogos, 2010

Program Bingkisan Ramadhan dan Sumbangan Aidil Fitri 2010 (IKRAM Sg. Petani) di Masjid Tengku Habsah, Padang Temusu, Sungai Petani Kedah.


Program ini telah diadakan pada hari Sabtu, 29 Ogos jam 9.00 pagi bertempat di Masjid Tengku Habsah, Padang Temusu. Dianjurkan bersama oleh IKRAM Sungai Petani dengan kerjasama ahli kariah Masjid Tengku Habsah sendiri. Antara tetamu jemputan istimewa ialah YB Haji Abdullah Jusuh, Adun Pantai Merdeka dan YB Senator Ir. Zamri Yusuf. Seramai lebih kurang 30 orang ahli ikhwah dan akhawat IKRAM Sungai Petani telah menghadirkan diri dalam program ini.
Program dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Syeikh Muhammad at-Thohiri iaitu qari dari Maghribi. Beliau telah memperdengarkan bacaan daripada surah Al-Hadid. Selepas terpaku dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, majlis diteruskan dengan ucapan daripada Imam masjid iaitu Tuan Haji Wan Abdul Rahman Wan Abdul Kadir. Dalam ucapannya beliau berasa amat berbangga kerana program yang julung-julung kalinya ini dapat diadakan dengan jayanya. Beliau juga berharap agar kerjasama antara masjid dan IKRAM ini akan dapat dilanjutkan pada masa-masa akan datang.
Acara diteruskan lagi dengan ucapan oleh pengerusi program iaitu Ustaz Haji Fadli Hj. Hasyim, yang mengulas sedikit petikan daripada surah Al-Hadid yang telah dibaca oleh qari sebentar tadi. Sedikit maklumat mengenai program yang dirancang dimana beliau sendiri tidak menyangka bahawa sambutan daripada para penyumbang adalah diluar jangkaan sehingga jumlah yang dikutip menjangkau RM20 ribu. Antara penyumbang utama ialah dari pihak IKRAM Sungai Petani serta dari para ahli jemaah sendiri. Beliau juga turut menceritakan tentang sumbangan yang hadir di waktu yang tidak disangka-sangka iaitu pada jam 1 pagi. 
Sumbangan untuk mereka yang kurang bernasib baik ini adalah berupa barangan dapur serta duit raya yang semuanya bernilai RM130.00 setiap seorang untuk 120 warga. Sumbangan tidak hanya setakat itu dimana pada hari sehari sebelum raya juga akan diberikan sekilo daging pada setiap mereka yang terlibat.
Ucapan seterusnya ialah daripada Timbalan Yang Dipertua IKRAM Sungai Petani iaitu Tuan Haji Mustafa Yahaya Ramli. Dalam ucapannya Tuan Haji Mustafa menegaskan bahawa setiap manusia itu adalah bersaudara dan mereka haruslah saling bantu-membantu dan berkasih sayang di antara satu sama lain. Program yang pertama kali diadakan di masjid yang baru siap dibina ini diharap akan menjadi peghubung ikatan antara IKRAM dengan para jemaah dan akan terus berkembang baik dimasa akan datang. Beliau juga mengambil kesempatan dalam ucapannya itu memperkenalkan IKRAM kepada masyarakat setempat. IKRAM menurut beliau ialah sebagai penyambung kerja-kerja dakwah yang ditinggalkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad S.a.w. Semoga kerjasama baik diantara IKRAM dan Masjid Tengku Habsah akan mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah dalam usaha menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran masyarakat setempat.
YB ustaz Abdullah Jusuh pula dalam ucapannya menegaskan bahawa setiap apa yang dilakukan oleh mereka yang mengaku beriman hendaklah dikaitkan dengan agama Islam yang mulia. Kita mestilah yakin dan percaya apa jua yang diperturunkan oleh Al-Quran. Jika kita mempercayai akan ayat turunnya puasa, kita juga mesti taat dan percaya akan ayat-ayat yang lain. Puasa yang sebenar-benar puasa akan menjadikan kita manusia yang bertakwa dan hendaklah kita yakin dan percaya bahawa setiap apa yang dilakukan akan dinilai oleh Allah SWT. Hendaklah ditingkatkan ketakwaan dan rebutlah peluang Ramadhan yang masih berbaki untuk mengumpulkan sebanyak yang mungkin pahala yang diganjarkan oleh Allah.
Senator Ir Zamri Yusuf pula dalam ucapannya berkata bulan Ramadhan bukanlah sekadar bulan puasa, ia juga ialah bulan ibadah, bulan al-Quran, bulan solat, bulan pahala dan lain-lain. Bulan ramadhan ini juga merupakan bulan untuk membina keluarga di waktu mereka berkumpul berbuka puasa dan bersahur bersama-sama. Bulan inilah seharusnya menjadi pemangkin untuk kita berubah dimana suasana gejala maksiat yang semakin mencengkam. Beliau juga melahirkan rasa bimbang atas gejala anak luar nikah dan buang bayi yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Beliau mengutarakan empat faktor yang perlu ditanam bagi mengatasi masalah ini iaitu faktor adat, nilai murni dan agama. Faktor keempat dan terakhir ialah hukuman setelah semua ketiga-tiga factor utama tadi ditekankan di dalam masyarakat.
Setelah selesai ucapan daripada mereka yang terlibat majlis sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik dan penyerahan dijalankan bermula dari Tuan Imam Wan Abdul Rahman, Tuan Haji Mustafa Yahaya, YB Ustaz Abdullah Jusuh dan akhir sekali oleh YB Senator Ir Zamri Yusuf. Tergambar wajah gembira dan penuh syukur pada setiap penerima bantuan ini. Program Bingkisan Ramadhan dan Sumbangan Aidil Fitri 2010 di Masjid Tengku Habsah, Padang Temusu, Sungai Petani Kedah berakhir pada jam 11 pagi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan